Rabu, 31 Disember 2014

Review ( KAWAN)

Semalam, dalam gelap aku menoleh ke belakang, mengimbau kembali peristiwa yang aku lalui sepanjang 2014. Aku lebih menfokuskan kisah-kisah yang sentimental, penuh saspen dan konflik. Bunyi agak sedih di situ ye.

Dulu, aku ramai sangat kawan di sekeliling pinggang sampai lah aku di Matrix Labuan. Masa zaman budak dulu, kawan curi pemadam, tapuk beg sekolah, curi guli, tolak-menolak sampai jatuh pun aku tak kisah. Why ? Sebab dulu, semua perkara kita tidak simpan dalam hati. Tiada benda yang nak terasa hati sangat. Tapi sekarang perasaan kecil hati, sensitif, marah itu gemar berpeleseran lama-lama di hati dan dikhuatiri menjadi dendam.

Bila dah besar sikit ni, nak masuk alam dewasa, satu persatu kawan aku hilang, tak kira la sama ada mereka yang pergi, atau aku yang menjauhkan diri. Jahatkah aku ? Soalan itu selalu menggangu aku. Kawan ini banyak kategori, kawan macam tu la, kawan lama, kawan biasa, kawan serumah, sebilik, sekuliah, sefakulti, seprogram, seUniversiti, jiran tertangga, kawan kenalan, kawan facebook, kawan sekerja dan so on. Banyak jenis kawan. Banyak kawan, perangai pun pelbagai la ye tak. Sebagai penekanan, tidak semua manusia itu sempurna,termasuklah diri aku dan orang lain.

Secara general, bagi aku kawan ini ;

(a) mestilah sekepala, sehati dan sejiwa

(b) Jujur, bukan talam dua, empat ataupun enam belas muka

(c) Tidak kedekut ilmu

Itu standart aku lah, berbeza dengan orang lain. Sedangkan kucing pun ada guide line jenis-jenis kucing yang boleh jadi gengnya, inikan pula kita manusia, ye tak. Memanglah kita nak cari kawan yang sekepala, sehati dan sejiwa, so boleh la lepak bersama-sama, berkongi cerita yang bermacam-macam. Rindu pula dengan geng keras aku di sekolah rendah, menengah dan matrikulasi. Mereka semua gila-gila, tapi bila kerja kumpulan selalu hasilnya menjadi super, kata orang saling melengkapi kekurangan. Mereka-mereka itu tidak kedekut ilmu, saling berkongsi pengetahuan, mengajar setakat yang mampu.

Menakutkan. Sedih bila aku terpaksa mengakui aku hilang ramai sangat kawan. Ada orang cakap, kau bukan hilang Mai, tapi kau baru mengenali siapa mereka yang sebenarnya.

" Sepatutnya aku patut menerima kelebihan dan kekurangan mereka, dan keep stay bersama mereka. " ku bermonolog sendiri.

Kadang-kadang, keadaan ini memberi tekanan pada aku. Aku terpaksa berubah atau dalam erti kata lain, aku berlakon agar mereka menerima diri aku. Susah. Itu bukan aku. Perkara ini membuat perasaan aku semakin memberontak. Hinggalah pada satu tahap, aku memilih untuk bersendiri. Tak perlu memikirkan perasaan orang lain, juga perasaan sendiri yang kian terancam.

Kemudian, aku berdepan dengan jenis manusia yang bermuka-muka. Mulut depan kata manis, mengata belakang macam najis. Sakitnya seperti dikhianati. Tersengih-sengih, berlakon seperti tiada apa yang berlaku. Ini adalah jenis-jenis gunting dalam lipatan. Memang dia berjaya menoreh-noreh kepercayaan aku seperti luka ditubuh pokok getah. Getahnya tetap mengalir. Kenapa awak tak cakap depan-depan, utara dan jelaskan apa masalah. Aku tak perlukan senyum tak berapa manis tu. Serius aku menyampah. Itu belum kes, post facebook lagi. Itu pun sama, tak puas hati, cerita pada seluruh dunia. kenapa tak setel baik-baik, cakap depan-depan? Bagi aku tu sama saja seperti pengecut !

Fuh, nampaknya Cik Mai tengah beremosi. Ada rasa kesal terbit dari lubuk hati. Tapi ada pengajaran dari peristiwa yang berlaku sepanjang 2014 ini. Salah satunya, jangan menganggap semua orang sama, cara mereka berfikir dan juga hati mereka. Aku boleh terima kepelbagaian perangai kerana ia merupakan warna warni kehidupan cuma bab orang yang suka bermuka-muka, berbibir dibelakang kepala ni payah sikit untuk aku terima sebagai sebahagian dari kehidupan aku. Memang aku tidak boleh terima langsung. MAAF.

Seperti air masin dan air tawar, bertemu namun tidak akan sebati, ada "barier " sebagai pemisah

Sabar Mai

Hilang kawan ada hikmahnya. Kau cuba melindungi hati kau sekaligus hati mereka dari rasa terguris, tercalar dan terluka. Perkara ini setidak-tidaknya membuat kau lebih mengenali mereka dan membuat " precaution ". Sentiasa Waspada. Peringatan juga buat kau Mai. Jangan suka dengar dan mengata orang. Kalau tak suka orang buat macam tu, kau pun jangan buat. Kalau tidak puas hati jangan post di facebook. Bangga mengaibkan orang lain. Ingat, hidup ini seperti roda. Wawasan 2015 !!

Sudahlah Mai, maafkan dan lupakan saja perkara tu. Kalau boleh lupakan dengan orangnya sekali. Berhati-hati saja apabila membuat sebarang hubungan diplomatik dengan mereka samaada secara rasmi ataupun tidak.

Cltr + A = Delete All

Format memory..

Post ini bertarikh 24 Dec 2014

朋 友 Peng You

Kesan ubat tahan mabuk masih bersisa di dalam tubuh. Aku lemah, mata aku mengantuk. Buku dan nota ku terkapar-kapar memaksa aku menyegerakan aktiviti menelaah secara efisen. Satu teknik last minit yang bersandarkan pada nasib, jika untung sabut, maka keluar ia dalam peperiksaan.

Aku merenung ke luar jendela, seolah-olah ada movie pendek berkisahkan tentang diri aku sepanjang 2014 ini. Entahlah, mengapa pahitnya lebih kelat terasa berbanding manis sebuah kisah benar. Sepatutnya, hujung-hujung tahun ini, dimana aku akan menduduki peperiksaan, konflik tidak muncul lagi dalam hidup aku. Ombak yang tinggi dilemahkan oleh tsunami kecil. Sudah berkecil hati, duka-citanya pula semakin bertambah-tambah.

Dia kata selama ini dia bergurau, aku yang serius kencang. Dan dia bilang, dia tak suka dan tidak boleh berada dengan orang seperti aku. Teks kiriman dari aku seperti satu ledakan teguran yang pedas, yang sudah begitu lama dipendam. Mungkin kerana susah untuk dia telan dan cerna, dia sendiri membuka jalan dan berkata, silakan unfriend aku. As you wish, dan aku tunaikan permintaannya. Tidak juga saya tahan dengan manusia yang datang bila ada mahunya. Yang sombongnya lebih tinggi dari menara KLCC serta lagaknya melambung persis tin kosong berisi batu gerigi . Kalau diberi peluang, aku ini berkata pada dia ;

Gurauan itu kadang seperti serbuk magik,
dapat menggembirakan orang lain.
Gurauan itu kadang juga seperti jarum peniti,
nampak kecil tapi boleh melukakan hati.
Sudahlah, cukup sarat fikiran aku sehingga mahu termuntah huruf-huruf. Konflik selama ini aku hadapi, apinya semua berpunca dari percikan yang aku buat sendiri. Mungkin kerana hati aku yang seperti tisu, terlalu lembut dan sensitif, sehingga aku terlalu proaktif melindungi diri aku dari dicederakan berkali-kali oleh tindak-laku mereka. Disebabkan tidak mau terluka perasaan, aku me-Nyah diri aku dan membina tembok-tembok lutsinar, agar mereka tidak mendekati aku lagi sehingga pada akhirnya aku mendapati diri aku berseorangan sepi. Mula-mula tu, memang aku seperti plastik hanyut yang dibawa bah, kadang muncul di hilir, kadang duduk di hulu bermain komputer, kadang di sana makan nasi kerabu libry . Being alone and feeling lonely are two different thing.
Di ambang 2015, aku masih membiarkan tembok-tembok itu kekal. Kelak, di masa hadapan, aku tidak mahu kisah lagi semua tindak-laku mereka itu asalkan ia tidak melepasi tembok aku, tidak sekali-kali memijak-mijak kepala atau anggota tubuhku yang lain. Kini, hati aku juga dapatku rasakan seperti lali oleh perbuatan mereka, ditambah pula dengan konflik yang aku ciptakan sendiri. Lebih bermanfaat jika aku fokus dengan hal aku sendiri. Hal engkau, kau punya tahu. Aku dah tidak mahu ambil kisah lagi.

Hidup disini, serba sedikit mengajar aku bagaimana menjadi orang yang PENTINGKAN DIRI, kerana semua orang disini lakukan itu untuk hidup. Tapi aku masih ada prinsip yang akarnya masih kuat mencengkam. " tolong orang selagi mampu".

Walaupun, seperti melepaskan anjing tersepit, tidak usahlah menyesal. Sudah pasti ikhlas kita akan teruji. Fikir positif, setidak-tidanya kita tahu manusia itu orangnya jenis apa. We don't lose friend, we just learn who the real ones are.

Post ini bertarikh 28 Dec 2014

Alkisah malam tanpa elektrik

Kemarin, 9.36 pm 

Seperti biasa, rutin kampungku setiap malamnya adalah mati karan. What my mom said, macam biasalah. Gelap, lilin pun tiada. Terlalu bergantung harap dengan lampu moden yang baterinya boleh di cas, tapi sayang, perangai dia pun sama macam karan di Sandakan. Laptop Asus aku pula tiada bateri, menambahkan lagi kesunyian diriku yang dalam kegelapan. Terlupa nak mention, Broadband Maxis aku umpama kucing tidak bergigi, memang tidak berguna langsung, mei you line. Aku pun meraba-raba lantai mencari telefon, kemudian aku ON la telepon pemberian bapaku tu dan mula menaip-naip walaupun internetnya degaga.

Aku berada di Sandakan pada minggu yang kebiasaan pelajar gelar sebagai " study week", dengan hajat yang besar ingin menelaah powerpoint dan membuat nota yang cute-cute untuk final exam nanti. Untuk pengetahuan, aku memiliki pen yang pelbagai spesies dan diversity, antaranya ialah Stabilo, Faber Castell, g'soft, Faster dan banyak lagi dan Ekologist menggelar ia sebagai spesies richness. Kemudian aku varietykan lagi pen-pen aku dengan pelbagai saiz dan warna seperti highlight kuning, pen air, pen berwarna pink, hitam, biru, ungu namun dukacita saya rasakan bahawa, pen hijau tidak dapat bercuti bersama-sama saya pada hari ini kerana ia tertinggal di dalam laci meja asrama.

Bukan sahaja pen yang diversity ingin aku kisahkan, tetapi kegembiraan hati yang tak tertahan saat menerima assignment last minit. Happynya !!! Aku memanupulasi perasaan yang tengah skewed to the left. ( negetif).

"Tapikan Mai, jangan la ko tambirang situ, bagus ko buat tu karaja rumah bagus-bagus. Midterm pun teruk, mau lagi ko buat sinsai sinsai sana. Naa ada juga ni merepeat kali sem depan " kutuk si jantung.

Aish tidak guna punya jantung tidak sukung saya, tapi ada bunalnya ngomong si jantung itu.

Sebagai kesimpulan, berdasarkan pemerhatian, memandangkan tabiat karan di Sandakan ini yang agak tidak berdisplin, lebih baik aku bergantung harap pada cahaya matahari berbanding dengan lampu kalimantan. Terpaksa aku menyelesaikan dua assignment yang tertunggak dahulu baru aku membuat nota-nota yang comel. Sabarlah wahai cik Mai. Kalau laptopnya degaga bateri, buku besar bapanye ada jangan risau. Boleh belajar animal dan plant diversity. Lai-lai-lai

Pesan cikgu Hamimah masa sekolah rendah dulu, genggam bara api biar sampai jadi arang. Dimana ada kemahuaan disitu ada jalan. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Pilihan di tangan anda wahai cik Maisa. Terpulang


1. Species richness @ kekayaan spesies = bilangan spesies yang berbeza di dalam komuniti ekologi, landskap dan kawasan.
Lagi banyak spesies yang berlainan, lagi kaya la kawasan tersebut. Lebih kurang la. 

2. Degaga = Tiada


Post ini bertarikh 24 Dec 2014